Sunday, July 4, 2010

oRanG iKhLaS TeRtiNdAs ?

بسم الله الرحمن الرحيم



Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa… betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak…

Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian, keseimbangan…

Lalu di pagi Jumaat ini, saya tulis satu kisah lama… sekadar untuk mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?

Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar daripada itu… benar-benarkah kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati kita ketika melalukan kebaikan kepada sesorang atau sesuatu pihak?

Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas…Amin.

Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah muhasabah di pagi Jumaat yang barakah ini…

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

p/s : perkongsian dari Genta Rasa

35 comments:

I*K*T*I*R*A*F said...

salam ziarah! :)

saya seperti pernah terbaca artikel ini.

btw,thanx 4 sharing! :)

cemomoi said...

keikhlasan memang sepatutnya janji kita dengan Allh je, sebaik mungkin tak perlu disebut pada manusia... cuma untuk memahami rahsia Allah membalas ganjaran amal kita memang sukar sebab tu kita kena sokmo fikirkan hikmah di sebalik kejadain atas peristiwa yang menimpa kita

Abd Razak said...

Salam ya ukhti..:)

Moga beroleh kesihatan yang baik..

Rezeki bukan sahaja berupa wang ringgit, tetapi segala nikmat yang kita dapat dari Allah iaitu kesihatan, kasih sayang, ilmu dan sebagainya..

Moga Allah memberkatimu

Solehah said...

Assalamualaikum Melati.Apa kabar?terima kasih sebab entry melati ni buat akak sedar dan berfikir..

CIKGU ZAM said...

salam Melati,
terima kasih kisah yang dinukilkan, lagu background nya pun best sangat2,,,,, nak pinjam boleh????? ( serius nii) (",). selalu tukar2 lagu best ni, boleh tak ajar hamba bagaimane nak buat lagu backgroud ni, saya hanya ade satu lagu je,,,,.
Anyway, thanks banyak2 di atas kesetian dan kesudian saudari mengunjung laman SSDL saya, semoga mendapat suami solehah, baik, penyayang yang maintain sampai akhirat (klu masih anak dara lagi sekarang lah ye).

tajnur said...

Assalamualaikum wbt
Saya memandang dr perspektif organisasi yg dibina oleh org Islam sendiri. Setakat ni, tak nampak mrk yg wujudkan `caring society` walhal Allah SWT telah mencela dlm Surah AlMaun hal2 kemasyarakatan. Buat masa ni, mrk yg ikhlas bekerja pun mmg ditindas sbb roda Islam berada dipusingan bwh dimana manusia tidak mahu bersusah-pyh pd sesuatu yg tiada kepentingan. Mrk yg ikhlas hanyalah yg ingin membina Deen Allah وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ
InsyaAllah sebagai balasan, Allah SWT akan kurniakan psgn, anak2 yg solih, ketenangan hidup, rezeki halal dan memudahkan perjalanan hidup w/pun tidak dihargai pada mata manusia. Wallahualam

citahrudin said...

ikhlas ....
terlalu mahal nilainya
sebab tu agak payah mau dpt ikhlas tu..

aima said...

bila kita redha, kita akan ikhlas,
bila kita ikhlas, kemanisannya kita yg rasa,.....hnya hati dn Allah mengetahui,..ikhlas pd ibu bapa dlm menunaikn tgjwb kita, ikhlas pd saudara kita dlm berbuat kebaikan biar apa tanggapn asal ia pekara betul....dgn itu kita tak pnh terpikir bhw akan ada balasan dn akan ada kebaikan utk kita kerna Allah jua akan membalasnya....

shameel Iskandar said...

salam ziarah

Kasih dan sayang Allah terlalu meluas utk hamba-Nya. Cuma kegelogohan menyebabkan kita gagal mentafsirkan rahmat yang kekadang terselindung dari jangkauan mata.

dmx said...

assalamualikum...

truja dgn keiklasan...:)

" Taatlah kpd Allah seperti kamu melihatnya,jika tidak mampu PERCAYA lah.. Allah sentiasa melihatmu.."

tehr said...

suatu cerita yang sangat menginsafkan

'diperingatkan semasa memberi peringatan' hehehe

cik zatil said...

adik melati..

thanks for sharing dis
entri for us..

renungan bersama :)

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr said...

alhamdulillah..

byk manfaat dari N3 ini

deena farhana said...

salam alayk ukhti yg manis cantik...

trm ksh pgisian ni..membuatkn diri bertanya setakat mana ht memiliki keikhlasan..trm ksh sekali lg..

slm penuh kasih buat bilah yg sentiasa kak deena rindui..

ibnu ghazali said...

bila baca kisah ni, barulah mengerti erti keikhlasan

kadang-kadang kita mencari keikhlasan,tapi masih tak ketemu jawaban..

wallahua'lam.tanx for sharing~

penjejak maya said...

salam,

pengisian yang baik.. bekerja tu biarlah ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran.. insya-Allah kita akan dapat balasannya kalau tak di dunia di akhirat kelak..

MissXYZ a.k.a Abaikan said...

tq mengingatkan =)

melatidaisy said...

I*K*T*R*A*F :

wa'alaikumussalam,
of course awk penah bace sbb artikel ni sy ambil dari blog ustaz pahrol, Genta Rasa :)

syukran ats ziarah :)

melatidaisy said...

cemomoi :

stuju dg cemomoi, selalu fikirkan hikmah di sebalik setiap kejadian :)

melatidaisy said...

Abd Razak :

wa'alaikumussalam akh :)

Alhamdulillah sihat seadanya..

Setiap pemberianNya adalah rezki utk kita, cuma kadang2 manusia terlalu inginkan kesempurnaan sehingga terlupa dengan setiap titis rahmat pemberian Tuhan.

barakallahu fik.

melatidaisy said...

solehah :

wa'alaikumussalam kak, alhamdulillah sy sihat seadanya, sama-sama kak, utk peringatan diri sendiri dan sahabat2..semoga akak dirahmati selalu :)

melatidaisy said...

CIKGU ZAM,

wa'alaikumussalam,

sama-sama, utk perkongsian bersama..oo, kalau nak letak background music tu paling senang cikgu zam boleh ambil kt sini : http://fullmusik.co.cc/ , boleh dapatkan banyak music code di sini, selamat mencuba :)

syukran ats doa, semoga Allah merahmati cikgu zam selalu..

melatidaisy said...

tajnur :

wa'alaikumussalam,

sikap pentingkan diri dan lepas tangan sbenarnya masih jd wabak dalam komuniti Islam skrg dan hendaklah di atasi kerana hakikatnya Islam sendiri berkonsepkan persaudaraan..namun bg yg tertindas,bersabar adalah yg trbaik krana pandangan Allah lebih utama,sekali pun hina di mata insan.wallahu a'lam.
syukran ats ulasan, barakallah .

melatidaisy said...

citahrudin :

betul kak,
susah nk dapat dan susah nk nampak,
umpama semut hitam yg berjalan di ats batu hitam dalam gelap malam :)

melatidaisy said...

aima :

setuju dgn akak, yg penting redha dgn setiap apa yg berlaku krn di situ letaknya keyakinan kita pada kebijaksanaan Allah swt :)

melatidaisy said...

Shameel Iskandar :

wa'alaikumussalam akh,

setuju, mungkin jga disebabkan oleh penyakit hubbu dunya (cintakan dunia) maka manusia sntiasa terburu-buru mgharapkan kesempurnaan, sedang kan ujian juga merupakan rahmat tanda kasih Tuhan.

melatidaisy said...

dmx :

wa'alaikumussalam,

mmg gembira bila kita dpt merasai keikhlasan seseorg terhadap kita apatah lagi bila diri kita jgk ikhlas pd yg lain,lebih2 lg ikhlas sbg hamba :)

syukran ats peringatan,barakallah

melatidaisy said...

tehr :

tulisan ust pahrol mmg sentiasa memberikn kita kesedaran, dia bercerita melalui pengalamannya,yg mgkin juga sama dgn apa yg kita lalui dlm kehidupan seharian

melatidaisy said...

cik zatil :

sama2 kak, untuk peringatan bersama :)

melatidaisy said...

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr :

insyaAllah, smoga peroleh manfaatnya bersama,terima kasih sudi bertandang :)

melatidaisy said...

deena farhana :

wa'alaikumussalam ukhti syg :)

la syukra 'alal wajib,smoga jadi peringatan bersama..

salam syg kembali utk akak,smoga ukhwah ini diberkati :)

melatidaisy said...

ibnu ghazali :

alhamdulillah, smoga peroleh manfaatnya bersama,

barakallahu fik :)

melatidaisy said...

penjejak maya :

wa'alaikumussalam,

inshaAllah,smoga jd peringatan utk diri ini dan semua,

barakallahu fik

melatidaisy said...

MissXYZ a.k.a Abaikan :

sama2 sis, barakallahu fik :)

Anonymous said...

salam ziarah