Tuesday, September 12, 2017

Tuhan Jaga Dia Untukku...

بسم الله الرحمن الرحيم

Cinta Hati Saya. Ummi & Abah


Abah saya, kini sudah tidak segagah dulu, kudratnya kini tak menentu, sejak peristiwa Februari yang lalu.

Tanggal 27 Februari 2017, abah menjalani procedure angiogram di HUSM Kubang Kerian, dan doktor telah mengenal pasti satu saluran jantung yang tersumbat, yang perlu dipasang stent, alat untuk mengatasi masalah jantung tersumbat untuk mengelakkan berlakunya serangan jantung.

Bingung sekejap kami sekeluarga. Apatah lagi abah sendiri. Berkali-kali di sisi kami beliau menyatakan ketidak percayaannya, melihat diri sendiri terlantar dengan wayar berselirat di dada. Tak pernah seumur hidupnya. Terbayang moment syahdu dia wad CCU, Ummi dan kami anak-anak, sekadar mampu memeluknya erat, memujuk dalam dakap, meniup kata semangat, bahawa ini ujian Allah di mana Dia nak kita lebih kuat, Allah nak kita jadi hamba Nya yang hebat. Sakit abah meleburkan dosa, InshaAllah.. juga peringatan buat kami sembilan beradik. Bahawa abah bukan milik kita selamanya. Sejauh mana usaha kita untuk jadi anak-anak soleh dan solehah, saham buat umi abah di akhirat.

Abah yatim piatu sejak kecil. Seawal 9 tahun ibu nya pergi, dan selepas sebulan, ayahnya pula menyusuli. Hidup menumpang kasih nenek, kemudian beralih kepada ibu saudaranya setelah pemergian nenek tercinta. Seterusnya menumpang kasih orang-orang kampung sehinggalah abang sulungnya mengambil alih tanggungjawab itu setelah berkemanpuan. Sesungguhnya abah sudah terbiasa sakit, sakit rindu di dalam yang tak terzahir sejak kecil. Namun, sakit kali ini lain impaknya..sakit fizikal yang terzahir di riak wajah. Allahu...kuatkan hati abah, teguhkan keimanan abah.

Namunku yakin, abah kuat menghadap. Dengan kehadiran ummi di sisi, yang saban hari memberi kata semangat, tak putus harap untuk ikhtiar berubat, tak pernah berkira berhabis wang, masa dan kudrat. Terima kasih ummi, wanita terhebat. Allah, kurniakan lah keampunan, kesihatan dan kebahagiaan buat wanita ini..Kerana kami tak kuat tanpa umi, semangat ummi keramat buat kami. Ameen ya rabbal 'aalaminn.


No comments: